IBNU TAIMIYYAH TIDAK PERNAH MENIKAH?

 

Soalan:


Benarkah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah pernah menikah namun menceraikan isterinya kerana sibuk dengan ilmu?. Benarkah kisah ini?. Apakah ini satu kekurangan buat beliau?, bolehkah dikatakan beliau membenci Sunnah?


Jawapan:


1. Yang sahih dan masyhur disebutkan oleh ahli ilmu dan juga murid-murid beliau yang menterjemahkan biografi Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyh rahimahullah bahawa beliau tidak pernah menikahi wanita dan tidak pernah juga mengambil jariah dari tawanan perang. Hal ini kerana hidup beliau dipenuhi dengan pelbagai mehnah dan ujian dalam berjihad dengan pena dan pedang, menyebarkan ilmu, mendidik, menjawab serta membatalkan syubhat-syubhat ahli bidaah dan musuh-musuh Islam. Jika kita bilang hasil karya Ibnu Taimiyyah, juga ilmu beliau yang sampai kepada generasi hari ini kita akan sedar keadaan beliau yang tidak pernah menikah tersebut jelas tidak menjatuhkan sedikit pun kelebihan dan kedudukannya dalam agama ini.


2. Termasuk Sunnah para Nabi dan Rasul adalah mereka menikah dan mempunyai zuriat keturunan. Firman Allah SWT:


وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا رُسُلࣰا مِّن قَبۡلِكَ وَجَعَلۡنَا لَهُمۡ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا وَذُرِّیَّةࣰۚ


Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. [ Al-Ra’d: 38 ]


Demikian juga galakkan Nabi ﷺ supaya menikah sangat banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis yang sahih. Perlu difahami perbuatan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dan mana-mana ulama Islam sebelumnya seperti Imam Ibnu Jarir Al-Tabari, An-Nawawi dan ramai lagi yang meninggalkan pernikahan kerana komitmen mereka kepada ilmu tidak boleh dijadikan hujjah dan alasan untuk meninggalkan pernikahan bagi mereka yang mampu. Petunjuk yang terbaik dan sempurna ialah petunjuk Nabi kita Muhammad ﷺ.


3. Orang yang tidak menikah kerana ada halangan yang menyebabkannya tidak menikah tanpa dia ada sedikit pun perasaan membenci pernikahan maka dia tidak termasuk dalam golongan yang membenci Sunnah Nabi ﷺ. Ini perlu difahami. Sebab itulah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah sendiri ada banyak fatwa-fatwa dan pendapat beliau tentang pernikahan sehinggakan ada tesis khusus yang menghimpunkan pendapat beliau berkenaan fiqh kekeluargaan dan banyak lagi bukti yang menunjukkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah seorang yang alim dan lebih mampu berbanding lelaki-lelaki yang ada pada zamannya dan zaman kini untuk menikah tetapi beliau lebih memilih untuk berkhidmat kepada ilmu dengan sepenuhnya bukan kerana beliau bencikan Sunnah Nabi ﷺ .


Wallahu’alam.

Catatan popular daripada blog ini

Dadah - Jenis-Jenis & Kesannya

16 jenis solat sunat

Kerajaan-Kerajaan Melayu Yang Hilang Kini Sudah ditemui???