Kota Atlantis terus dicari

 


PADA tahun 2005, saintis Brazil iaitu Profesor Nunes dos Santos mengemukakan teori yang menggemparkan masyarakat dunia apabila menyatakan lokasi Atlantis iaitu tamadun misteri yang hilang sejak 11,000 tahun lalu berkemungkinan terletak di kepulauan Nusantara.

Dalam bukunya `Atlantis: The lost Continent Finally Found', Santos yang juga Pakar Kejuruteraan Nuklear menjelaskan kajiannya selama kira-kira 30 tahun mendapati banyak ciri kota Atlantis menyamai kawasan kepulauan Nusantara khususnya Indonesia.

Sejak ratusan tahun lalu, pengkaji terus mencari di mana lokasi sebenar Atlantis selepas kisah kewujudan tamadun silam itu dicatatkan dalam naskhah kuno Timaeus dan Critias yang dihasilkan ahli falsafah Yunani iaitu Plato sekitar tahun 360 Sebelum Masihi.

Atlantis dikatakan tamadun yang wujud lebih awal daripada tamadun Mesir, Babylon Mesopotamia, Inca dan Greek.

Lebih besar dari Libya

Mengikut catatan Plato, tamadun Atlantis digambarkan amat maju dari aspek kemanusiaan, teknologi dan kaya dengan harta dunia. Atlantis wujud sebagai sebuah pulau yang amat luas iaitu lebih luas berbanding gabungan Libya dan Asia.

Daratan Atlantis dikatakan sebagai kawasan terbaik di dunia dan memiliki tanah subur.

Tanah Atlantis juga dipenuhi dengan galian berharga terutamanya mineral misteri Orichalcum selain dihiasi dengan pohon menghijau serta haiwan yang banyak termasuk gajah.

Pada masa itu, wilayah Atlantis didiami pelbagai kelas masyarakat tetapi kesemua mereka hidup aman damai dan saling hormat-menghormati.

Semua penduduk tidak mementingkan diri dan menganggap semua harta dan kemudahan yang ada adalah milik bersama.


Hidup secara sederhana

Walaupun semua keperluan untuk kehidupan dan pendidikan disediakan kerajaan dengan berlimpah, penduduk Atlantis tidak tamak malah tidak pernah menuntut makanan lebih banyak daripada apa yang mereka perlukan.

Mereka juga tidak memuja emas dan perak kerana bagi mereka, semua itu tidak ada gunanya dalam hidup. Sebaliknya mereka hidup secara sederhana dan bahagia.

Antara pekerjaan di Atlantis ialah tukang batu dan tukang kayu selain perajurit yang tinggal sekitar kuil Athena dan Hephaestus di puncak bukit untuk melindunginya.

Kota Atlantis juga dibina dengan amat teratur dan indah. Mereka membangunkan kuil, istana, pelabuhan dan bangunan besar yang cantik. Terusan selebar kira-kira 100 meter, kedalaman kira-kira 33 meter dan sepanjang Sembilan kilometer turut dibina.


Musnah satu malam

Begitu lama Atlantis hidup gah dengan kemewahan dan kemajuan pembangunan serta ketamadunan sehingga menyebabkan penduduknya mula takbur dan melakukan dosa.

Akhirnya, lantaran dosa dan sikap penduduknya yang mula berubah, kehebatan Atlantis yang dicapai sebegitu lama akhirnya musnah dalam tempoh semalaman.

Kemusnahan Atlantis itu dinyatakan dalam terjemahan naskhah Timaeus: "Namun sesudah itu, muncul gempa bumi dan banjir yang dahsyat. Dan dalam satu hari satu malam, semua penduduknya tenggelam ke dalam perut bumi dan pulau Atlantis lenyap ke dalam samudera luas."

Seterusnya, selepas ribuan tahun berlalu, pengkaji berlainan bangsa daripada seluruh dunia terus-menerus meneliti rekod dialog Plato itu untuk mencari lokasi Atlantis ditenggelamkan.

Pelbagai maklumat geografi hasil kisah Plato seperti dicatat dalam Timaeus dan Critias terus dikaji dan dirujuk silang dengan topografi muka bumi pada hari ini.

Pelbagai hasil kajian yang dijalankan menyebabkan wujud pelbagai teori mengenai lokasi kota misteri itu antaranya Atlantis dikatakan terletak di kawasan Mediterranean, Andalusia, Antartika dan Caribbean.

Namun bagi Profesor Santos, beliau yakin lokasi sebenar Atlantis terletak di Nusantara kerana latar tempat dalam cerita Plato itu menyamai kawasan kepulauan di Asia Tenggara.

Antara hujah lelaki itu, gempa bumi yang menenggelamkan Atlantis dirujuk sebagai satu kawasan yang paling kerap mengalami gempa bumi dan memiliki banyak gunung berapi aktif iaitu di Nusantara khususnya Indonesia.

Gempa bumi terkuat itu dikatakan berlaku akibat letusan gunung berapi Krakatau di Indonesia kira-kira 11,000 tahun lalu yang bertepatan dengan tempoh hilangnya Atlantis dari muka bumi ini.


Berakhirnya zaman ais

Tempoh berlakunya letusan gunung berapi itu juga bertepatan dengan berakhirnya Zaman Ais Pleistocene yang menyebabkan litupan ais mencair sekali gus mengakibatkan paras air laut meningkat.

Tsunami besar yang terhasil akibat gempa bumi dan letusan gunung berapi selain peningkatan paras laut akhirnya dipercayai menenggelamkan kota Atlantis.

Mengenai suhu pula, Plato menegaskan penduduk Atlantis hidup dalam iklim tropika dan pada 11,000 tahun lalu, kebanyakan kawasan di seluruh dunia adalah sejuk lantaran masih dikuasai Zaman Ais Pleistocene. Kawasan yang beriklim panas dan hujan sepanjang tahun hanya terletak berhampiran Khatulistiwa iaitu di Nusantara.

Selain itu, kenyataan Plato bahawa Atlantis memiliki banyak galian juga selaras dengan sektor perlombongan di Asia Tenggara yang banyak iaitu bijih timah dan emas sehingga pernah digelar `Semenanjung Emas', `Gunung Emas' dan 'Bukit Besi Putih'.

Bagi menguatkan lagi dakwaan beliau, Prof Santos turut mengemukakan beberapa lagi hujah berdasarkan kajiannya dari aspek geologi, iklim tropika, sistem pengaliran, populasi penduduk, struktur muka bumi, sumber semula jadi, gunung berapi dan saiz kawasan.


Kisah fiksyen Plato

Pelbagai hasil kajian yang ditemuinya menolak teori lain yang mengatakan Atlantis terletak di kawasan lain seperti Mediterranean, Antartika dan Lautan Atlantik.

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada kesan arkeologi Atlantis yang berjaya ditemui untuk mengesahkan kewujudannya pada puluhan ribu tahun dahulu.

Pihak yang sangsi bahawa tamadun sehebat itu pernah wujud pada zaman silam menganggap Atlantis sebenarnya tidak lebih daripada satu kisah fiksyen yang dihasilkan Plato untuk menghiburkan rakyat jelata pada ketika itu.




Catatan popular daripada blog ini

Dadah - Jenis-Jenis & Kesannya

16 jenis solat sunat

Kerajaan-Kerajaan Melayu Yang Hilang Kini Sudah ditemui???