Saya bujang, saya ok! (HM Jumaat, 3 April 2015)
Pada awal usia 20-an,
kita dapat melihat semakin ramai kawan, saudara-mara dan kenalan yang mula
berpasangan, malah ada yang sudah pun mendirikan rumah tangga.
Kepada yang masih
tidak mempunyai pasangan dan berpacaran pastinya kadangkala berasa sedikit
cemburu ataupun sedih hidup berseorangan.
Namun apabila
difikirkan, sebenarnya ada banyak kelebihan menjadi anak muda bujang yang tidak
leka bercinta ini.
Tidak perlulah
bersedih mahupun merungut menjadi ‘single’ kerana ada manfaat untuk diri
sendiri dan orang yang kita sayang seperti keluarga dan rakan.
Untuk meraikan mereka
yang masih ‘single’, Gen Y kumpulkan beberapa kelebihan menjadi ‘single’ yang
didapati daripada beberapa kajian dilakukan supaya kita dapat meraikan setiap
saat menjadi si bujang.
1. Bebas jadi spontan
Tanpa kekasih, kita
boleh melakukan banyak perkara dengan spontan dan tidak perlu menunggu
kebenaran atau pembabitan pasangan kekasih itu. Contohnya, kalau hendak bela
binatang peliharaan atau hendak ke pusat beli-belah, anda tidak perlu pendapat
atau persetujuan mereka. Pokoknya, anda bebas bergerak dan bertindak spontan
untuk mengisi kehidupan sendiri.
2. Kenali diri
Apabila kita tidak
menyibukkan diri dengan seorang individu lain bergelar kekasih, kita sebenarnya
mempunyai lebih banyak masa dan peluang mengenali seorang individu yang amat
penting iaitu diri sendiri.
Ini peluang untuk kita
mengkaji dan mengenali siapa diri kita sebenarnya. Kita boleh berhubung dengan
nilai dan azam kehidupan kita sendiri. Bolehlah kita mempersiapkan diri untuk
masa hadapan kelak terutamanya dalam aspek perhubungan cinta.
3. Bebas mengembara
Mengembara
berseorangan memberi banyak perspektif dan membuka minda kita, malah mengajar
kita untuk menjadi lebih berdikari. Apabila tidak mempunyai pasangan, kita
mempunyai lebih banyak berpeluang untuk pengalaman ini tanpa sebarang halangan
remeh-temeh. Kalau mahukan teman mengembara, boleh ajak kawan bujang lain dan
sama-sama melihat dunia tanpa halangan daripada orang lain.
4. Lebih peluang
pekerjaan
Dalam mencari kerja,
orang bujang yang tidak terikat dengan hubungan cinta mempunyai lebih banyak
peluang.
Menurut laman web
CNNMoney, banyak organisasi dan syarikat yang lebih suka menggaji mereka yang
bujang dan tidak mempunyai hubungan serius dalam kalangan graduan dan lepasan
baru universiti.
Ini kerana banyak
syarikat menganggap mereka yang bujang dan tidak bercinta mempunyai lebih fokus
untuk kerja dan boleh memberi lebih komitmen pada perkembangan syarikat serta
diri sendiri sebagai seorang pekerja.
5. Boleh berjimat
Umum tahu kalau
bertemu janji pastinya menelan belanja yang banyak. Menonton wayang, makan di
tempat romantis, hadiah dan sebagainya. Dapat pula kekasih yang selalu
kesempitan wang, terpaksa pula kita membantu dan keluar duit dari poket
sendiri. Apabila tidak berpacaran, kita boleh berjimat dengan menyimpan wang
untuk perkara lebih berfaedah atau membeli keperluan dan kehendak diri sendiri
berbanding memuaskan hati pasangan yang belum tentu menjadi jodoh ke akhir
hayat.
Apatah lagi jika yang
masih belajar atau baru bekerja, pasti perlu duit untuk diri sendiri dan tidak
perlu pening-pening tentang kos remeh bertemu janji.
6. Lebih masa untuk
keluarga dan sahabat
Cinta datang dan
pergi, namun hubungan ikhlas silaturahim antara ahli keluarga dan sahabat
sangat bererti dan lebih berkekalan. Menjadi bujang yang tidak berpacaran
memberi peluang kepada kita untuk meluangkan masa berkualiti bersama mereka
yang penting sentiasa ada untuk diri kita seperti keluarga dan sahabat.
Pastinya kita tidak mahu satu hari kelak kita kehilangan mereka dan sedar
sebenarnya kita tidak meluangkan banyak masa bersama mereka yang sentiasa
ikhlas ada untuk kita.
Inilah masanya untuk
kita menunjukkan bahawa kita sayang kepada mereka dengan meluangkan masa dengan
mereka kerana suatu hari nanti pasti ada yang sukar berjumpa contohnya apabila
sudah mempunyai kekasih.