Keajaiban pesawat Boeing patah dua di Georgetown




BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa pesawat Caribbean Airlines yang patah dua di Lapangan Terbang Antarabangsa Cheddi Jagan, Georgetown, Guyana kelmarin.

GEORGETOWN - Sebuah pesawat penumpang syarikat penerbangan Caribbean yang membawa 163 penumpang terhempas dan patah dua ketika mendarat di Guyana pada malam kelmarin.

Namun, tiada seorang pun yang mati dalam nahas itu tetapi 12 orang mengalami kecederaan.

Pesawat Boeing 737-800 itu terbabas dari landasan dan melanggar pagar selepas ia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Cheddi Jagan, Georgetown.

Pesawat itu terhenti beberapa meter dari gaung.

Menurut syarikat penerbangan tersebut, punca nahas masih belum diketahui manakala para penyiasat dari Amerika Syarikat dan Guyana telah dihantar untuk mencari kotak hitam.

Para penumpang menjerit apabila pesawat itu hilang kawalan.

"Apa yang berlaku di Georgetown adalah sesuatu yang ajaib," kata Pengerusi Caribbean Airlines, George Nochloas yang melawat kawasan kejadian.

Pesawat milik syarikat dari Trinidad dan Tobago itu tiba di sini dari New York. - Reuters

---------------------------

GEORGETOWN, Guyana 31 Julai - Sebuah pesawat syarikat penerbangan Caribbean Airlines yang sarat dengan penumpang tergelincir dari landasan ketika mendarat di Guyana malam tadi sebelum terputus dua, namun ia tidak mengakibatkan sebarang kematian.

Pesawat Boeing 737-800 dari New York itu tersasar dari landasan dan merempuh pagar sejurus mendarat di lapangan terbang Cheddi Jagan, di sini tengah malam tadi.

Pesawat malang berkenaan terputus dua dan berhenti hanya beberapa meter dari gaung.

Hanya tiga daripada 163 penumpang dan anak kapal mengalami kecederaan dengan seorang daripadanya patah kaki.

"Ia memang satu keajaiban kerana nahas ini tidak menyebabkan kematian," kata Pengerusi Caribbean Airlines, George Nicholas yang melawat tempat kejadian.

Para penumpang dilaporkan menjerit apabila pesawat tersebut hilang kawalan sejurus mendarat dan mereka berpusu-pusu keluar dari kapal terbang menggunakan gelongsor kerana bimbang ia mungkin terbakar.

Syarikat penerbangan Caribbean Airlines yang berpangkalan di Trinidad and Tobago berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian yang berlaku ketika cuaca elok dan jarak penglihatan baik.

Penyiasat dari Amerika Syarikat (AS) dan Guyana telah dihantar bagi mencari kotak hitam pesawat.

Stesen penyiar Canadian Broadcasting Corporation melaporkan, seramai 12 rakyat Kanada berada dalam penerbangan itu, sementara kebanyakan penumpang lain merupakan rakyat Guyana.

Hospital Besar Georgetown dalam satu kenyataan memberitahu, seramai 35 penumpang kini dirawat termasuk juruterbang, Edinburgh Gardens, 52 tahun. - Reuters 
 




















Catatan popular daripada blog ini

Dadah - Jenis-Jenis & Kesannya

16 jenis solat sunat

Kerajaan-Kerajaan Melayu Yang Hilang Kini Sudah ditemui???