Misteri Pesawat Dakota Part 2 (Penjejak Relik Perang)

Kumpulan penyelidik bebas ini bersatu untuk menjejak arkeologi ketenteraan dan relik perang.
Mengikut data yang direkodkan Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG), sebanyak lima kemalangan udara berlaku di Gua Musang, Kelantan semasa Darurat.
Ia membabitkan pelbagai jenis pesawat RAF. Dua daripadanya ialah pesawat jenis Valetta, dan selebihnya jenis Bristol Briggand, Dakota dan Auster AOP.
Bagaimana pun menurut penyelidiknya, Shahrom Ahmad, masih ada lagi sejumlah kemalangan udara yang dimaklumkan secara lisan tetapi belum dapat disahkan kerana kekurangan maklumat.
Menurut Shahrom, pihaknya telah lama mengumpul data mengenai pesawat malang Dakota KN630 RAF itu. Ini termasuklah krunya sebagai satu proses biasa dalam usaha mengenal pasti kedudukan ia dipercayai terhempas.
"Bagaimanapun kami bukannya penyelidik sepenuh masa kerana rata-rata ahli MHG bekerja dan melakukan perkara ini (kajian relik perang) atas faktor minat bagi memulihara sebahagian daripada khazanah sejarah negara," ujarnya.
MHG merupakan satu-satunya kumpulan penyelidik bebas di negara ini yang memfokus tentang arkeologi ketenteraan dan relik perang.
Walaupun kurang dikenali, tetapi hampir 95 peratus data-data berhubung relik perang dan kawasan-kawasan pertempuran di negara ini khususnya semasa Perang Dunia Kedua yang direkodkan mereka tepat.
Kebanyakannya hasil penyelidikan, maklumat lisan dan pertukaran data yang diperoleh daripada veteran perang serta beberapa persatuan serupa di luar negara, khususnya Britain.
Bahkan pencarian pesawat malang Dakota RAF KN630 sebenarnya turut mendapat bantuan mereka yang selama ini berkolaborasi dengan Muzium TD.

Penyelidik Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG) meneliti
bangkai helikopter British yang terhempas di Cameron
Highlands semasa Darurat.
Shahrom memberitahu, sebaik dimaklumkan rancangan misi evakuasi itu, pihaknya giat mengumpulkan data berkaitan pesawat termasuk latar kejadian bagi membantu Muzium Tentera Darat melengkapkan maklumat sedia ada.
"Sedikit sahaja maklumat yang diperoleh daripada kumpulan penyelidik di Britain, jadi misi ini telah berjaya merungkai misteri pesawat Dakota RAF ini termasuk punca kemalangan sehingga mengorbankan krunya.
"Walaupun kami bukannya jurutera atau pakar penerbangan, tetapi kami memperoleh maklumat daripada rakan-rakan di luar negara termasuk veteran perang RAF dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri.
"Misalnya, dalam kes Dakota KN630 ini, hasil tinjauan terhadap fizikal pesawat merumuskan masalah enjin punca ia terhempas di Kampung Penchong Gua Musang, 58 tahun lalu.
"Ini kerana keadaan kipas pesawat yang dalam kedudukan lurus menunjukkan ia berputar perlahan sebelum terhempas akibat enjinnya hilang upaya semasa terbang," jelas Shahrom.
Katanya, faktor ini disokong dengan keadaan muka bumi kawasan persekitaran berbukit.

Shahrom Ahmad di ekor pesawat yang dibuat kajian.
Ini kerana pesawat terhempas di kawasan lembah. Beliau yakin pesawat itu terbang terlalu rendah menyebabkan juruterbangnya cuba memacu sepenuh tenaga pada enjin tetapi gagal lalu melanggar kawasan permatang di situ.
"Mengikut rekod penyelidik sejarah peperangan di Britain, Dakota KN630 sedang melakukan operasi menanda kawasan yang disyaki kedudukan komunis di sekitar hutan tebal Galas di sini.
"Setelah kru melepaskan cahaya suaran ke kawasan yang dikenal pasti, ia akan dimusnahkan oleh pesawat pengebom yang terbang berhampiran.
"Malangnya, dalam misi ini juruterbangnya gagal memacu pesawat untuk melepasi kawasan tinggi apabila enjinnya hilang kuasa, membuatkan sayap pesawat tidak dapat menampung beban semasa terbang lalu terjunam," jelasnya.

Mengakui lokasi Dakota KN630 antara yang sukar ditembusi, Shahrom yang berpengalaman selama sedekad dalam penyelidikan relik perang memberitahu, hujan lebat melambatkan proses evakuasi.
" Pasukan evakuasi sukar untuk masuk ke lokasi pesawat malang itu yang terletak dua jam perjalanan dari Kampung Penchong, tapi perasaan benar-benar teruja apabila tiba ke lokasi pencarian.
"Sebahagian daripada bangkai pesawat ditemui dalam keadaan baik, tetapi beberapa bahagian penting lain seperti muncung hadapan pesawat hilang dipercayai dibawa arus sungai.
"Hanya separuh bahagian sayap dan ekor yang ditemui, dengan bahagian paling besar adalah sayap kanan dan bahagian ekor sepanjang 10 meter.
Menurut Shaharom lagi, misi evakuasi itu merupakan satu kejayaan besar bagi semua pihak yang terbabit khususnya Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Pertahanan Britain bagi menjana sejarah warisan ketenteraan negara.
"Setelah dikenal pasti, MHG berharap agar mangsa-mangsa krew pesawat Dakota ini disemadikan di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel di Cheras sebagai penghormatan," ujarnya.
Maklumat pesawat Douglas Dakota
Panjang : 19.43m
Lebar sayap : 29.11m
Tinggi : 5.18m
Berat maksimum semasa berlepas : 14,000kg
Enjin : 2 x enjin radial Pratt & Whitney Twin Wasp; 1,400hp setiap satu
Kelajuan maksima : 360kmj
Jarak penerbangan : 2,600km
Krew : 3
Kapasiti penumpang : 28
Had kargo : 2,700kg / 3,700kg (perang)